16 January, 2016

BAYI LAPAN BULAN MAUT DALAM KEMALANGAN



Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut manakala bapanya cedera dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 55.8 Jalan Mersing-Batu Pahat, Kluang di Johor Bahru pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata bayi itu, Nur Muhris Anas Anuar yang cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kluang.

Bapanya, Anuar Geman@Wagiman, 36, pula dilaporkan cedera ringan manakala pemandu kenderaan lain pula terselamat.

Mohamad Laham berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi apabila lori tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki tempatan menghala ke arah Mersing, dikatakan melanggar belakang kereta Toyota Vios sebelum cuba


mengelak ke kiri jalan namun gagal berbuat demikian akibat masalah brek.

Ia kemudian terbabas ke kiri jalan dan melanggar pula kereta yang dinaiki Nur Muhris dan bapanya yang pada ketika itu secara kebetulan berhenti di bahu jalan, sebelum ia melanggar tiga lagi kenderaan lain yang diletakkan di hadapan sebuah kedai perkakas rumah.

"Akibat pelanggaran itu, Nur Muhris tersepit dalam kereta dan cedera parah. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kluang tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya.

Mohammad Laham berkata pemandu lori berusia 33 tahun itu telah ditahan dan akan direman esok mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana cuai mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sementara itu, dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan berasingan di Bukit Tengah dan Permatang Batu di Bukit Mertajam malam tadi.

Jurucakap polis berkata dalam kemalangan di atas jejambat di bulatan Bukit Tengah, pemandu kereta Tan Tee Xian, 34, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.

Katanya dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang memandu sendirian dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok jejantas di sebelah kiri.

"Mangsa yang berasal dari Alor Setar itu dipercayai bekerja di sebuah syarikat swasta di Perai dan semasa kemalangan dia dalam perjalanan ke Bukit Minyak untuk berjumpa rakannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah," katanya hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis berkata seorang remaja lelaki, Muhamad Affiq Ropiee, 18, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Permatang Batu di Bukit Mertajam malam tadi.

Katanya mangsa yang merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menunggang motosikal sendirian dipercayai baru balik dari Up Town di Perda untuk pulang ke rumahnya di Permatang Batu sebelum terlibat dalam kemalangan.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta yang berada di laluan yang sama dan terjatuh ke atas jalan. Remaja itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika perjalanan ke hospital," katanya.

Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat..

No comments:

Post a Comment