Kota Tinggi: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati mandatori sekiranya disabit kesalahan mengakibatkan kecederaan hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang juga anak teman wanitanya, tahun lalu.
Mohd Hazwan Karim, 24, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini, semalam didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 September 2015 antara jam 2 pagi hingga 2.30 pagi di bilik sebuah pusat perkhidmatan memandu di Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.
Dia didakwa menampar beberapa kali muka Muhammad Danial Asyraff Abdullah hingga kepala mangsa terhantuk ke lantai di bilik terbabit dan mendatangkan kecederaan serta menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sehubungan itu, Majistret Mazana Sinin menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan, bedah siasat dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA).
Beberapa ahli keluarga tertuduh dilihat berada di pekarangan mahkamah.
Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak malang itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan meninggal dunia pada 10 September tahun lalu.
Tertuduh yang melarikan diri bagi mengelak siasatan polis ditahan 3 Januari lalu di sekitar Kota Tinggi.
MOHD Hazwan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam. |
PERHATIAN: "Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah.
No comments:
Post a Comment