20 January, 2016

Mangsa ragut selamatkan diri selepas kemalangan [METROTV]

Kota Kinabalu: Seorang wanita mengalami detik cemas selepas diragut dan dipaksa menaiki kereta dua penjenayah sebelum menyelamatkan diri sebaik kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh dinding konkrit di hadapan Kompleks Suria Sabah, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, mereka dipercayai terus melarikan diri sebaik sahaja kereta Proton Iriz berkenaan terbabas.

Kejadian itu juga turut menyebabkan dua lelaki cedera selepas kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki terbalik ketika cuba mengelak merempuh Proton Iriz itu.

Difahamkan, sebelum itu, dua lelaki berkenaan dipercayai meragut wanita itu berhampiran lokasi kejadian sebelum memaksanya menaiki kenderaan terbabit.

Bagaimanapun kereta yang dipandu mereka terbabas lalu merempuh dinding konkrit di hadapan pusat beli-belah berkenaan.

Selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri manakala wanita itu bergegas melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai kenderaan curi.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sepasukan polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

KEADAAN kereta rosak teruk selepas merempuh dinding konkrit di hadapan Kompleks 
Suria Sabah, Kota Kinabalu.


PERHATIAN: "Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

No comments:

Post a Comment