22 January, 2016

Polis tahan 'Datuk' kes tipu jual darjah kebesaran Kedah


Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditahan Selasa lepas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan penjualan darjah kebesaran negeri Kedah dengan harga RM71,200 pada 2014.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata lelaki warga tempatan berumur 33 tahun dan beralamat terakhir di Bandar Sungai Long, Kajang diberkas di sekitar Damansara.

"Suspek ditahan atas laporan seorang ahli perniagaan warga Bangladesh yang mendakwa beliau dan anaknya ditipu lelaki berkenaan yang berjanji mendapatkan gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' masing-masing kepada mereka dengan jumlah bayaran tersebut," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Yusoff berkata suspek menawarkan mangsa, 57, dan anak lelakinya, 28, untuk membeli gelaran darjah kebesaran Kedah itu setelah mereka berkenalan menerusi internet sekitar 2014 atas urusan jual beli sebuah kereta mewah.

Beliau berkata kegiatan yang dilakukan suspek antara 2014 dan 2015 itu turut menyebabkan mangsa kerugian RM164,200 kerana ditipu dalam urusan pembelian kereta mewah jenis BMW630i daripadanya.

Mohd Yusoff berkata perbuatan penipuan suspek itu mengakibatkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM235,000 dan suspek kini direman untuk membantu siasatan kes itu.

PERHATIAN: "Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

No comments:

Post a Comment