19 January, 2016

Restoran char kuey teow didenda tak kutip GST


Sebuah syarikat pengendali restoran char kuey teow di ibu kota hari ini didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana tidak mengutip Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada pelanggan tahun lalu.

Hakim Shamsudin Abdullah juga memerintahkan Mali's Corner Sdn Bhd membayar 95 sen GST kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana tidak mengutip cukai itu dalam satu resit.

Syarikat itu membayar denda tersebut.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat itu yang diwakili pengarahnya, Jamali Saat mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Syarikat itu sebagai syarikat berdaftar di bawah GST didakwa tidak mengeluarkan invois cukai di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 ketika membuat pembekalan cukai pada 7 Okt 2015, 12.54 tengah hari, di Mali's Corner Sdn Bhd, No 9-1, Block C, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Danau Kota, Setapak di Kuala Lumpur.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 33(2)(a) akta itu yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Zambri Mohd Isa yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan kerana ini kesalahan pertama syarikat itu manakala Pegawai Pendakwa Kastam, Norhalelly Haimid memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada orang ramai.



PERHATIAN: "Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan dan dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan dan kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah.

No comments:

Post a Comment